Disember 28, 2011

Selamat Datang 2012


Beberapa hari lagi kita akan melangkah masuk ke tahun 2012 Masihi, meninggalkan 2011 bersama kenangan suka dan duka yang pastinya akan meninggalkan bekas dalam hati kita. Bermakna setahun lagi usia Kelab Berbasikal Sutama Cyclo dalam pentas basikal bukit negara. Apapun, kejayaan menubuhkan kelab berbasikal ini sewajarnya menjadi titik mula kepada peminat basikal bukit dan basikal amnya untuk menyemarakkan lagi kegiatan sukan ini, mungkin daripada kegiatan sukan untuk menyihatkan tubuh badan kepada satu bentuk kegiatan yang lebih besar seperti penganjuran jamboree atau perlumbaan - suatu hari nanti, InsyaAllah. Namun di sebalik harapan itu, pastinya kelab memerlukan sokongan dan komitmen para ahli kelab untuk menjayakan kegiatan yang bakal dianjurkan kelak. Pastinya kejayaan apa juga penganjuran dan kegiatan bergantung penuh kepada kesedian ahli bekerjasama dan berganding bahu, dan perkara ini amat diharapkan daripada semua ahli, termasuk AJK. Lantas, kita perlu memikirkan, apakah langkah yang patut dilakukan untuk memakmurkan lagi kelab.
Sebelum kita mengharung 2012, baik kita merenung kembali sepanjang 364 hari yang kita lalui, menilai komitmen kita terhadap kelab dan aktiviti yang kita minati ini. Juga, tentunya kejutan paling besar tahun ini ialah kehilangan rakan kita, saudara Ibrahim Mohd Nasir pada awal November lalu. Al-Fatihah untuk arwah dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman. Beliau akan dikenang sebagai pencinta sukan berbasikal yang menyumbangkan bakti kepada rakan-rakan berbasikal terutamanya dalam urusan senggara basikal - ketelitian kerja dan pengetahuan teknikal yang mendalam mengenai basikal banyak manfaatnya dan segalanya beliau kongsi bersama. Sesungguhnya, pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada Sutama Cyclo. Al-Fatihah.
Tahun 2011 merupakan cabaran besar kepada Sutama Cyclo yang secara rasminya didaftarkan sebagai kelab. Beberapa aktiviti seperti ekpedisi berbasikal ke Lubuk Kawah dan Kerling dan penyertaan dalam jamboree di serata tanah semenanjung ini telah menjadikan Sutama Cyclo satu establishmen dalam sukan basikal bukit ini. Kita mungkin masih tidak ada ahli yang berjaya berdiri di podium kemenangan perlumbaan, tetapi itu bukan bermakna SC kelab kerdil, tetapi yang penting penyertaan dalam acara yang dianjurkan. Mungkin selepas ini kita boleh meneruskan cita-cita dalam mencungkil bakat muda dalam sukan berbasikal tempatan dan antarabangsa - sesungguhnya, langkah yang besar bermula daripada satu langkah kecil dan bertatih.
Kepada ahli Sutama Cyclo, sumbangan pemikiran diperlukan dalam menjadikan kelab kita disegani di kalangan peminat basikal bukit negara dan sewajarnya, kita sama-sama juga menarik lebih ramai orang menyertai sukan basikal bukit dan juga menjadi ahli kelab. Pastinya juga cadangan dan buah fikir mengenai kegiatan kelab amat dialu-alukan serta janganlah bersikap seperti enau melepaskan pucuk masing-masing.

Selamat Datang Tahun 2012!

Oktober 31, 2011

Kuale Yang Celaru dan Haru-Biru

Pada 30 Oktober lalu SC berpeluang menyertai kira-kira 2226 orang riders (kata penganjur) dalam acara yang dinanti-nantikan dalam kalendar jamboree basikal bukit 2011. Malah SC telah menjadi kumpulan terawal menempah slot penyertaan berikutan rasa teruja dan rekemen pelbagai pihak bahawa jamboree Kuale antara yang paling best dan mantap penganjurannya dan treknya juga layan.
Malah, penyertaan SC kali ini merupakan yang paling ramai dan dimeriahkan oleh beberapa star riders (mcm Ali K atau Ali Champion), termasuk rising star (macam Tok Sami ngan Pakkur..hehehhhh. kena puji skit usaha keras mereka) bagi membuktikan latihan keras setiap hujung minggu benar-benar berbaloi. Sebagai peminat basikal bukit dan aktiviti jamboree, pasti Kuale 2011 ini merupakan suatu yang dinanti dan direbut untuk disertai. Memang, setengah-setengah bahagian treknya begitu menguja dilalui terutamanya laluan single trek di kebun getah.
Apapun, pada keseluruhannya penyertaan SC di jamboree ini, macam indah khabar daripada rupa (tak sampai hati lagi nak kata macam haram) - selepas menilai keseluruhan trek, pengurusan jamboree - cacat-celanya terlalu besar untuk ditutup atau diselami dengan nota pujian. Catatan ini barangkali tidak adil atau berat sebelah, tetapi semudah-mudah perkara seperti penyediaan air di stesen air telah terlihat gagal, lantas, apakah pujian yang mahu diberikan. Bayangkan stesen air kedua hanya tinggal kotak dan botol air yang bersepah tanpa airnya. Cuba bayangkan para riders yang sudah terbakar tekak dek memanjat sekian banyak bukit apabila melihat air dan petugas pun tak nampak bulu hidungnya. Demikian juga halnya di stesen air keempat yang sepatutnya menghidangkan air suntonic, apabila sebahagian besar riders hanya mendapati hanya tinggal lori, tanpa air!
Bagi para riders yang menyertai Kayuhan Kaule Bandar Diraja 2011, sudah pastinya mengharapkan yang terbaik daripada penganjur yang pernah melakukan edisi terdahulu dengan baik dan jayanya. Barangkali, untuk menjadi menjadi pengajaran, ia sudah gagal apabila terlampau besar kecacatan yang berlaku. Bayangkan jika ada peserta yang tidak mengikuti sepenuhnya track dan tidak mendapat sticker penuh boleh mendapat kedudukan/nombor yang lebih baik berbanding orang yang berkayuh sepenuh hati untuk melengkapkan kayuhan. Layakkah peserta seperti ini mendapat nombor kedudukan? Memang tujuan kayuhan ini antara lainnya untuk berseronok dan menambah pengalaman, tetapi jika perkara seperti pemberian nombor kedudukan kepada peserta berlaku kecacatan yang melata, apakah ia sesuatu yang munasabah? Seronok berkayuh memang nak, tapi pengurusannya, janganlah macam hampas! Cuba bayangkan jika ada peserta diberikan kedudukan 2200 daripada 2226 peserta sedangkan sekian ramai peserta lain menamatkan kayuhan tanpa sticker penuh (dan chicken loop) dan masih beratus-ratus lagi peserta yang belum menamatkan kayuhan. Juga pada masa yang sama, ada peserta yang tiba pada masa yang sama mendapat kedudukan seribu lebih.
Tentunya, kecacatan seperti ini tidak sewajarnya berlaku dan dilakukan oleh penganjur yang mempunyai pengalaman. Berpengalaman tau! Bukan mentah dan hingusan.
Kita tidak bermaksud mahu memburukkkan atau menyalahkan pihak penganjur yang bekerja keras, tetapi sekurang-kurangnya, mereka sudah ada pengalaman, demikian juga sudah ada penganjuran jamboree-jamboree terdahulu di seluruh Malaya yang berjaya dilakukan dengan baik, walaupun tidak sempurna seratus-peratus (boleh dijadikan pengajaran dan ukuran), tetapi kesilapan dan kecacatannya masih boleh diterima dan dimaafkan.
Tanpa ragu juga mahu mengatakan bahawa track yang dipilih sebenarnya terlalu mendera walaupun mungkin bagi sebahagian, ia tidak bermasalah, tetapi harus diingat, jamboree bukan perlumbaan dalam erti kata sebenar kerana penyertaan terdiri daripada pelbagai lapisan dan kelompok dan pasti di jamboree Kuale 2011, kebanyakannya adalah pengayuh sosial yang tujuannya untuk merasai keseronokan berbasikal bukit. Malangnya, track yang disediakan amat sesuai untuk pengayuh tegar.
Tentunya, siapa menduga penganjur akan menyediakan 8 atau sembilan bukit yang tingginya lebih 100 meter dengan puncak paling tinggi hampir 200 meter serta pendakian menegak dan pastinya bagi kebanyakan pengayuh dengan keupayaan kudrat yang terhad menghadapi masalah untuk menamatkan kayuhan. Jadi, ramai yang dilaporkan mengambil jalan mudah (terutamanya peserta tempatan) menggunakan Chicken Loop) dan yang bagusnya, dapat pula nombor kedudukan. Kedudukan yang baik pula tu..hebat!
Tentunya, kata-kata pengacara majlis sebelum perlumbaan bahawa track yang disediakan amat riderable terngiang di telinga sepanjang kayuhan kerana dia mengulangi kata-kata "boleh kayuh" beberapa kali. Jika track tersebutlah yang didefinisikan sebagai "boleh kayuh", maka ramailah peminat basikal gunung yang akan gantung basikal. Pastinya, dengan kecacatan yang dilalui, maka tidak adalah singgahan di Kuala Kangsar pada masa mendatang untuk menyertai edisi seterusnya Kayuhan Kuale Bandar Diraja.
Catatan ini mungkin penuh emosi, tetapi kedatangan para peserta untuk jamboree ini disebabkan reputasi baik penganjuran terdahulu. Juga kata-kata tidak puas hati bukan sekadar dalam blog ini. Cuba telusuri ruang sembang maya lain yang berkait dengan Kayuhan Kuale 2011, tidak kurangnya memperkatakan perihal kegagalan mutlak jamboree ini, juga menjadi luahan rasa marah dan puas hati mereka.
Kalau nak cerita semua kecacatan atau rasa tidak puas hati, laman blog ini rasanya tidak cukup, bak kata orang sehari semalam nak cerita pun tak habis. Kalau duk sembang kat kedai mamak pun boleh bertempik sambil hentak meja pun tak tentu puas hati.
Barangkali, ia merupakan pengajaran kepada penganjur tetapi sayugia dinyatakan, ia sudah terlambat. Bagi sesiapa yang mahu menganjurkan jamboree, boleh la jadikan Kayuhan Kuale 2011 ini sebagai penanda aras - maksudnya, penanda aras paling bawah penganjuran jamboree.
Apapun, masalah pada jamboree ini, semangat We Ride We Conquer tetap membara ;-)
 Nyonya fotografer tak rasmi jamboree.
 Sebahagian 2226 peserta kebanggaan penganjur.
 Tepi sawah memang tempat terbaik berposing kan.
 Mempertaruhkan kudrat menaiki bukit yang entah berapa banyak tu.
 Yang terjatuh dan terduduk pun ada.

 Apa ada di balik pokok
Kesesakan di track yang berlumpur.
 * Kredit foto untuk Akmarul Nizam Misbah