Januari 03, 2012

Sungai, lumpur dan selut di Tanjung Malim

Selamat tahun baru 2012 kepada semua peminat tegar basikal bukit, terutama ahli SC. Tahun 2012 membuka tirainya dengan SC menyertai jamboree anjuran UPSI. Seperti mana jamboree lain, pasti ada cerita suka dan benci, lalu demikian jugalah kisahnya para pengayuh dan pencinta basikal bukit pada 1 Januari lalu, dihidangkan dengan laluan sejauh 48 kilometer dengan 80 peratus laluannya adalah off road yang menguja.
Agak melegakan untuk pembukaan 2012 ini acara jamboree anjuran UPSI ini dianggap berjaya terutamanya daripada aspek trek kayuhan dan juga tahap penganjuran secara keseluruhan. Tetap sebelum nak cerita banyak hal lain, baik menilai dulu trek yang dipilih penganjur untuk para pencinta sukan basikal bukit ini. Ramai peserta (kebanyakannya) beranggapan trek yang disediakan amat baik dan sesuai, apatah lagi apabila dikaitkan dengan nama rainforest (hutan hujan) - ada naik dan turun bukit, meredah sungai, laluan trek tunggal, off road pacuan empat roda, jalan kampung, jalan ladang dan laluan dusun yang menguja peserta. Mungkin, tidak ramai yang komplen sebab laluan mendakinya tidak la melampau macam sesetengah jamboree yang yang semacam mahu mendera peserta sampai terkencing atau terpitam, laluan pilihan UPSI menyajikan keseronokan jika tidak berselut dan berlumpur yang licin dek hujan amat lebat pada sebelah malamnya. Tetapi kalau nak rasa macam mana susahnya kayuhan menurun di laluan berselut dan berlumpur, jamboree ini menyajikan pengalaman itu, dan demikian juga kayuhan mendaki yang dihambat oleh laluan yang berlumpur dan berselut yang tidak mengizinkan kayuhan.
Apapun, merentas sungai yang kedalamannya melepasi pinggang sambil mengangkat basikal juga pengalaman yang berharga, malah ramai peserta yang mengambil kesempatan berendam dan menyelam, malah ada yang sempat minum air sungai.
Melihat kepada kejayaan penganjur terutamanya pelepasan peserta yang baik dan tidak ada peserta yang mendahului marshal, sekalung tahniah dihulurkan kepada mereka. Tidak dinafikan penyediaan air minuman, air tenaga dan pisang yang agak mewah memperlihatkan kesediaan UPSI, khususnya Pusat Sukannya menganjuurkan acara ini yang membabitkan peserta mencecah angka ribuan orang. Bagaimanapun kelemahan ketara seperti penyediaan air dan pisang boleh dibaiki pada masa akan datang andainya UPSI bercadang menganjurkannya sekali lagi, dan pastinya, ramai peminat dan pencinta basikal bukit akan menyertainya. Penganjur sewajarnya menyediakan stesen air lebih awal, yakni antara kilometer 11-15 untuk stesen air pertama kerana keputusan penganjur meletakkan stesen air mini sebelum stesen air utama di check point pertama mengakibatkan ramai peserta berdepan masalah kekeringan tekak akibat kehabisan air kerana botol air yang disediakan di dua stesen air mini ternyata tidak mencukupi. Begitu juga penyediaan makanan seperti buah pisang sewajarnya diletakkan di pertengahan laluan dan bukannya di hampir penghujung trek kerana ramai peserta kehabisan tenaga ketika separuh perjalanan lagi. Kalau perut dah lapar, tenaga dan menyusut jiwa pengayuh pun jadi kacau!
Oklah, tidak ada sangat nak dibidas mengenai penganjurannya, dan jika ada kekurangan pun itu dianggap lumrah kerana tidak ada yang sempurna melainkan Tuhan, dan pastinya, ia merupakan satu pembelajaran terbaik untuk menjadikan jamboree ini lebih baik dan menarik pada masa akan datang.
Pada members SC terutamanya Farham, Buaya Tuah Ku dan Pakkur, tahniah dengan kesungguhan dan kerja keras kalian untuk bersaing dengan peserta lain yang hebat. Kepada peserta lain yang berjaya memenuhkan semua pelekat check point, tahniah kerana itulah ertinya, We Ride We Conquer. Kepada yang dapat 2 atau 3 sticker, tak tau la nak kata apa. Mesti ada alasan kan.
Apa pun harap pada jamboree lain, akan ada members SC yang naik podium atau menduduki kelompok 10 teratas dan berjaya habiskan laluan dengan sticker penuh. Jika tidak, baik kasi padam We Ride We Conquer kat jersi serba baru tu. wakakakaaa. Jangan kasi malu kelab!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

jangan lupa juga "marking" disetiap selekoh juga amat lengkap dan memudahkan raider berkayuh tanpa sesat haluan yng menjengkelkan spt di kuale.....