Disember 28, 2011

Selamat Datang 2012


Beberapa hari lagi kita akan melangkah masuk ke tahun 2012 Masihi, meninggalkan 2011 bersama kenangan suka dan duka yang pastinya akan meninggalkan bekas dalam hati kita. Bermakna setahun lagi usia Kelab Berbasikal Sutama Cyclo dalam pentas basikal bukit negara. Apapun, kejayaan menubuhkan kelab berbasikal ini sewajarnya menjadi titik mula kepada peminat basikal bukit dan basikal amnya untuk menyemarakkan lagi kegiatan sukan ini, mungkin daripada kegiatan sukan untuk menyihatkan tubuh badan kepada satu bentuk kegiatan yang lebih besar seperti penganjuran jamboree atau perlumbaan - suatu hari nanti, InsyaAllah. Namun di sebalik harapan itu, pastinya kelab memerlukan sokongan dan komitmen para ahli kelab untuk menjayakan kegiatan yang bakal dianjurkan kelak. Pastinya kejayaan apa juga penganjuran dan kegiatan bergantung penuh kepada kesedian ahli bekerjasama dan berganding bahu, dan perkara ini amat diharapkan daripada semua ahli, termasuk AJK. Lantas, kita perlu memikirkan, apakah langkah yang patut dilakukan untuk memakmurkan lagi kelab.
Sebelum kita mengharung 2012, baik kita merenung kembali sepanjang 364 hari yang kita lalui, menilai komitmen kita terhadap kelab dan aktiviti yang kita minati ini. Juga, tentunya kejutan paling besar tahun ini ialah kehilangan rakan kita, saudara Ibrahim Mohd Nasir pada awal November lalu. Al-Fatihah untuk arwah dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman. Beliau akan dikenang sebagai pencinta sukan berbasikal yang menyumbangkan bakti kepada rakan-rakan berbasikal terutamanya dalam urusan senggara basikal - ketelitian kerja dan pengetahuan teknikal yang mendalam mengenai basikal banyak manfaatnya dan segalanya beliau kongsi bersama. Sesungguhnya, pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada Sutama Cyclo. Al-Fatihah.
Tahun 2011 merupakan cabaran besar kepada Sutama Cyclo yang secara rasminya didaftarkan sebagai kelab. Beberapa aktiviti seperti ekpedisi berbasikal ke Lubuk Kawah dan Kerling dan penyertaan dalam jamboree di serata tanah semenanjung ini telah menjadikan Sutama Cyclo satu establishmen dalam sukan basikal bukit ini. Kita mungkin masih tidak ada ahli yang berjaya berdiri di podium kemenangan perlumbaan, tetapi itu bukan bermakna SC kelab kerdil, tetapi yang penting penyertaan dalam acara yang dianjurkan. Mungkin selepas ini kita boleh meneruskan cita-cita dalam mencungkil bakat muda dalam sukan berbasikal tempatan dan antarabangsa - sesungguhnya, langkah yang besar bermula daripada satu langkah kecil dan bertatih.
Kepada ahli Sutama Cyclo, sumbangan pemikiran diperlukan dalam menjadikan kelab kita disegani di kalangan peminat basikal bukit negara dan sewajarnya, kita sama-sama juga menarik lebih ramai orang menyertai sukan basikal bukit dan juga menjadi ahli kelab. Pastinya juga cadangan dan buah fikir mengenai kegiatan kelab amat dialu-alukan serta janganlah bersikap seperti enau melepaskan pucuk masing-masing.

Selamat Datang Tahun 2012!