Tak sangka la pulak pihak penganjur mahu menjawab perihal kegagalan penganjuran Kayuhan Kuale 2011 dalam laman blog siri 2012. Baguslah. Memang orang nak jawapan kepada kegagalan penganjuran itu dan jawapannya yang paling sesuai adalah MINTA MAAF! Dua perkataan itu rasanya sudah cukup.
Demi refresh kembali kegagalan itu maka dipetik jawapan - setepatnya, alasan - yang mereka perturunkan untuk mempertahankan diri (dipetik dari kayuhankuale2012.blogspot.com). Tapi rasanya kegagalan penganjuran bagi edisi 2011 amat/terlalu besar kerana ia adalah kegagalan mutlak. Tidak ada hujah untuk mengatakan ia suatu kejayaan, malah sebagai peserta ia adalah kekecewaan yang amat dahsyat!
3. Bagi acara Kayuhan Kuale 2011 yang lalu pihak kami akui berlakunya beberapa kelemahan atau 'shortcomings' yang tidak dijangka. Ini berlaku diantaranya disebabkan sambutan/permintaan/penyertaan yang bagitu mendadak disaat-saat akhir (iaitu seramai 2,100.00 orang, walapun telah dimaklumkan tarikh tutup/jumlah penyertaan dihadkan sehingga seramai 1,500 orang peserta sahaja). Dengan pertambahan penyertaan seramai 600 orang segala keperluan serta kemudahan terpaksa ditambah/pinda maka sedikit sebanyak ia telah menjejaskan kelicinan perancangan acara tersebut. Walau apa pun yang telah berlaku pihak kami tidak terkecuali daripada menerima kritikan daripada pihak yang berpengalaman dalam perkara ini. Untuk makluman sememangnya pihak kami telah mengambil kira teguran-tegura dalam perkara ini dan ianya akan menjadi panduan didalam menganjurkan acara MTB Jamboree bagi tahun ini dan seterusnya untuk yang akan datang insyaAllah, terima kasih. Segala kelemahan yang telah berlaku amat dikesali yang tidak disengajakan dan diluar dugaan kam dan pihak kami memohon maaf kepada pihak-pihak yang terlibat.
Bagi perkara di atas, ukur baju di badan sendiri. Ya, penganjur sepatutnya tahu, sedar dan bermuhasabah dengan melihat kepada kemampuan dan keupayaan sumbernya yang ada baik sumber manusia atau apa jua sebelum membuat keputusan meningkatkan lagi pengambilan peserta. Harus diingat, peserta dan peminat basikal bukit teruja menyertai Kayuhan Kuale 2011 disebabkan reputasi tahun sebelumnya. Maka, bukankah edisi 2010 itu boleh dijadikan benchmark, atau penganjur sebenarnya sudah rambang mata dengan pulangan kewangan! Apa yang berlaku bukan BEBERAPA kelemahan atau kekurangan, tetapi kelemahan dan kekurangan MUTLAK. Rasanya, dalam banyak kali menyertai jamboree, Kayuhan Kuale 2011 inilah yang paling SUCK!
4. Seterusnya menyedari trek laluan adalah terhad disamping untuk menganjurkan acara jamboree ini dengan lebih sempurna lagi pihak kami telah merancang untuk menghadkan penyertaan bagi acara "Kayuhan Kuale 2012' kali ini untuk seramai 1,300 orang sahaja. Semoga cadangan kami ini dapat diterima dan diharap para peserta dapat menghormati tarikh tutup penyertaan serta dapat menggunakan borang penyertaan yang ditetapkan. Selain daripada itu pihak kami mohon kerjasama sepenuhnya supaya setiap peserta mula berkayuh ditempat permulaan. Amat dikesali terdapat pada hari acara 'Kayuhan Kuale 2011' begitu ramai yang sudah berada di kawasan bulatan jam (sebelum waktu Flag-off) dan juga ramai yang membuat U Turn sebelum Istana Iskandariah. Ini telah menjejaskan kelicinan dan nama baik jamboree ini. Jumlah peserta tidak menjadi masalah tetapi menghalang laluan menjadi punca kepada berlakunya huru hara yang diluar dugaan penganjur sendiri. Walau bagaimana pun seandainya kayuhan berjalan licin sekali pun namun adalah disedari ia tidak dapat juga menampung keluasan bukit yang terhad itu. Olih itu jumlah penyertaan seperti diatas akan digunakan seperti yang telah dirancangkan.(Ramai pulak yang mengata 'tak pe tak pe. Menyorong saje pun tak pe, nanti ade ruang kita kayuh le'. Nak tahu tanya lah mereka......
Perkara no 4, salah peserta juga, kan. Ya, peserta memang bersalah sebab penganjur yang melakukan kesilapan bodoh apabila mengadakan kayuhan dengan VIP di sekitar bandar Kuala Kangsar. Ramai yang m empertikai, apakah kebijaksanaan penganjur mengadakan kayuhan ini. Inilah contoh kecelaruan yang boleh dielak jika penganjur tidak mengadakan sesi yang tidak berfaedah. Perihal peserta yang membuat pusingan U sebelum Istana Iskandariah, memang ia berlaku kerana, apakah mungkin kelompok belakang dapat terus berkayuh ke point yang ditetapkan jika di depan mereka sedang mara gelombang pertama pengayuh. Malah, penganjur tidak beberapa jelas di sini, apakah mereka sebenarnya sudah melakukan pelepasan untuk jamboree atau sekadar kayuhan santai. Tindakan penganjur menggunakan laluan yang sama untuk berpatah balik, adalah keputusan yang dibuat tanpa membuat analisis dan penelitian. Apatah lagi membabitkan lebih 2k manusia yang ada pelbagai sikap, perangai dan tingkah. Lain kali, belajar psikologi manusia. Sebab itu, kita kena berfikir ke depan dan melihat kepada kemungkinan terburuk, bukan perihal yang molek sahaja. Setiap perkara ada pro dan kon!
5. Mengenai air di Check-check Point pula segala perkiraan telah dibuat dan arahan telah dibuat untuk menghantar bekalan yang secukupnya. Adalah menjadi tandatanya kami bagaimana ia boleh menjadi berkurangan seperti yang didakwa pihak tertentu. Air yang dibekalkan adalah produk hasil ciptaan negara Korea sebagai minuman bertenaga bernilai lebih daripada dua kali ganda daripada air yang biasa dibekalkan yang menghasilkan pengurangan dahaga (kekenyangan) untuk masa yang panjang. Difahamkan ramai menggunakannya untuk 'mandi'. Ini biasa berlaku didalam jambore sebegini. Sememangnya terdapat ramai juga mereka yang tidak berdaftar serta 'first time' peserta yang tidak berpengalaman yang hanya membawa satu botol air sahaja. Walau bagaimana bagi acara bagi tahun ini pihak kami akan pastikan tiada kekurangan air berlaku disamping akan memberi kemudahan takungan air sejuk untuk minuman dan mandian di satu Check Point yang dipilih insyaAllah.
Bahagian 5 ini macam inilah. Peduli apa air itu produk Korea! Orang hanya nak dan mau air cukup untuk diminum apabila sampai di stesen air. Rasanya, kalau sediakan air 100 plus, tak gamak orang nak buat mandian atau nak basahkan kepala. Tapi peserta jamboree guna air mineral atau drinking water yang disediakan untuk mandi atau menyiram kepala dan badan itu normal, apatah lagi kalau cuaca dah panas membahang, dan penganjur sepatutnya tahu hal seperti ini - apakah penganjur tak tau hal seperti ini sebab tak dak pengalaman menyertai jamboree dan menjadi penganjur sebab syok dengan hasil! Juga, alasan mengatakan kemunculan peserta tidak berdaftar dan tidak pengalaman kerana baru pertama kali menyertai jamboree tidak boleh digunakan sebagai hujah. Ini sekadar alasan tanpa premis penghujahan yang wajar. Kalau peserta bawa satu botol menjadi kesalahan, berapa banyakkah botol air peserta perlu bawa untuk menyelamatkan kelemahan penganjur yang gagal menyediakan air secukupnya. 3 liter? 6 liter? Sudah menjadi kelaziman peserta membawa air sebotol sebab mereka menjangkakan mereka boleh buat refill di stesen air. Apakah ini tidak ada dalam benak penganjur.
Banyak lagi kecelaruan dan benchmark kegagalan penganjur edisi 2011. Nak citer pun tak syok, kan. dah setahun berlalu, rasanya biarlah menjadi kenangan. Apapun, selamat berjamboree kepada penggemar sukan basikal gunung ini. Kepada penganjur, selamat maju jaya dengan penganjuran edisi seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan