Disember 28, 2011

Selamat Datang 2012


Beberapa hari lagi kita akan melangkah masuk ke tahun 2012 Masihi, meninggalkan 2011 bersama kenangan suka dan duka yang pastinya akan meninggalkan bekas dalam hati kita. Bermakna setahun lagi usia Kelab Berbasikal Sutama Cyclo dalam pentas basikal bukit negara. Apapun, kejayaan menubuhkan kelab berbasikal ini sewajarnya menjadi titik mula kepada peminat basikal bukit dan basikal amnya untuk menyemarakkan lagi kegiatan sukan ini, mungkin daripada kegiatan sukan untuk menyihatkan tubuh badan kepada satu bentuk kegiatan yang lebih besar seperti penganjuran jamboree atau perlumbaan - suatu hari nanti, InsyaAllah. Namun di sebalik harapan itu, pastinya kelab memerlukan sokongan dan komitmen para ahli kelab untuk menjayakan kegiatan yang bakal dianjurkan kelak. Pastinya kejayaan apa juga penganjuran dan kegiatan bergantung penuh kepada kesedian ahli bekerjasama dan berganding bahu, dan perkara ini amat diharapkan daripada semua ahli, termasuk AJK. Lantas, kita perlu memikirkan, apakah langkah yang patut dilakukan untuk memakmurkan lagi kelab.
Sebelum kita mengharung 2012, baik kita merenung kembali sepanjang 364 hari yang kita lalui, menilai komitmen kita terhadap kelab dan aktiviti yang kita minati ini. Juga, tentunya kejutan paling besar tahun ini ialah kehilangan rakan kita, saudara Ibrahim Mohd Nasir pada awal November lalu. Al-Fatihah untuk arwah dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman. Beliau akan dikenang sebagai pencinta sukan berbasikal yang menyumbangkan bakti kepada rakan-rakan berbasikal terutamanya dalam urusan senggara basikal - ketelitian kerja dan pengetahuan teknikal yang mendalam mengenai basikal banyak manfaatnya dan segalanya beliau kongsi bersama. Sesungguhnya, pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada Sutama Cyclo. Al-Fatihah.
Tahun 2011 merupakan cabaran besar kepada Sutama Cyclo yang secara rasminya didaftarkan sebagai kelab. Beberapa aktiviti seperti ekpedisi berbasikal ke Lubuk Kawah dan Kerling dan penyertaan dalam jamboree di serata tanah semenanjung ini telah menjadikan Sutama Cyclo satu establishmen dalam sukan basikal bukit ini. Kita mungkin masih tidak ada ahli yang berjaya berdiri di podium kemenangan perlumbaan, tetapi itu bukan bermakna SC kelab kerdil, tetapi yang penting penyertaan dalam acara yang dianjurkan. Mungkin selepas ini kita boleh meneruskan cita-cita dalam mencungkil bakat muda dalam sukan berbasikal tempatan dan antarabangsa - sesungguhnya, langkah yang besar bermula daripada satu langkah kecil dan bertatih.
Kepada ahli Sutama Cyclo, sumbangan pemikiran diperlukan dalam menjadikan kelab kita disegani di kalangan peminat basikal bukit negara dan sewajarnya, kita sama-sama juga menarik lebih ramai orang menyertai sukan basikal bukit dan juga menjadi ahli kelab. Pastinya juga cadangan dan buah fikir mengenai kegiatan kelab amat dialu-alukan serta janganlah bersikap seperti enau melepaskan pucuk masing-masing.

Selamat Datang Tahun 2012!

Oktober 31, 2011

Kuale Yang Celaru dan Haru-Biru

Pada 30 Oktober lalu SC berpeluang menyertai kira-kira 2226 orang riders (kata penganjur) dalam acara yang dinanti-nantikan dalam kalendar jamboree basikal bukit 2011. Malah SC telah menjadi kumpulan terawal menempah slot penyertaan berikutan rasa teruja dan rekemen pelbagai pihak bahawa jamboree Kuale antara yang paling best dan mantap penganjurannya dan treknya juga layan.
Malah, penyertaan SC kali ini merupakan yang paling ramai dan dimeriahkan oleh beberapa star riders (mcm Ali K atau Ali Champion), termasuk rising star (macam Tok Sami ngan Pakkur..hehehhhh. kena puji skit usaha keras mereka) bagi membuktikan latihan keras setiap hujung minggu benar-benar berbaloi. Sebagai peminat basikal bukit dan aktiviti jamboree, pasti Kuale 2011 ini merupakan suatu yang dinanti dan direbut untuk disertai. Memang, setengah-setengah bahagian treknya begitu menguja dilalui terutamanya laluan single trek di kebun getah.
Apapun, pada keseluruhannya penyertaan SC di jamboree ini, macam indah khabar daripada rupa (tak sampai hati lagi nak kata macam haram) - selepas menilai keseluruhan trek, pengurusan jamboree - cacat-celanya terlalu besar untuk ditutup atau diselami dengan nota pujian. Catatan ini barangkali tidak adil atau berat sebelah, tetapi semudah-mudah perkara seperti penyediaan air di stesen air telah terlihat gagal, lantas, apakah pujian yang mahu diberikan. Bayangkan stesen air kedua hanya tinggal kotak dan botol air yang bersepah tanpa airnya. Cuba bayangkan para riders yang sudah terbakar tekak dek memanjat sekian banyak bukit apabila melihat air dan petugas pun tak nampak bulu hidungnya. Demikian juga halnya di stesen air keempat yang sepatutnya menghidangkan air suntonic, apabila sebahagian besar riders hanya mendapati hanya tinggal lori, tanpa air!
Bagi para riders yang menyertai Kayuhan Kaule Bandar Diraja 2011, sudah pastinya mengharapkan yang terbaik daripada penganjur yang pernah melakukan edisi terdahulu dengan baik dan jayanya. Barangkali, untuk menjadi menjadi pengajaran, ia sudah gagal apabila terlampau besar kecacatan yang berlaku. Bayangkan jika ada peserta yang tidak mengikuti sepenuhnya track dan tidak mendapat sticker penuh boleh mendapat kedudukan/nombor yang lebih baik berbanding orang yang berkayuh sepenuh hati untuk melengkapkan kayuhan. Layakkah peserta seperti ini mendapat nombor kedudukan? Memang tujuan kayuhan ini antara lainnya untuk berseronok dan menambah pengalaman, tetapi jika perkara seperti pemberian nombor kedudukan kepada peserta berlaku kecacatan yang melata, apakah ia sesuatu yang munasabah? Seronok berkayuh memang nak, tapi pengurusannya, janganlah macam hampas! Cuba bayangkan jika ada peserta diberikan kedudukan 2200 daripada 2226 peserta sedangkan sekian ramai peserta lain menamatkan kayuhan tanpa sticker penuh (dan chicken loop) dan masih beratus-ratus lagi peserta yang belum menamatkan kayuhan. Juga pada masa yang sama, ada peserta yang tiba pada masa yang sama mendapat kedudukan seribu lebih.
Tentunya, kecacatan seperti ini tidak sewajarnya berlaku dan dilakukan oleh penganjur yang mempunyai pengalaman. Berpengalaman tau! Bukan mentah dan hingusan.
Kita tidak bermaksud mahu memburukkkan atau menyalahkan pihak penganjur yang bekerja keras, tetapi sekurang-kurangnya, mereka sudah ada pengalaman, demikian juga sudah ada penganjuran jamboree-jamboree terdahulu di seluruh Malaya yang berjaya dilakukan dengan baik, walaupun tidak sempurna seratus-peratus (boleh dijadikan pengajaran dan ukuran), tetapi kesilapan dan kecacatannya masih boleh diterima dan dimaafkan.
Tanpa ragu juga mahu mengatakan bahawa track yang dipilih sebenarnya terlalu mendera walaupun mungkin bagi sebahagian, ia tidak bermasalah, tetapi harus diingat, jamboree bukan perlumbaan dalam erti kata sebenar kerana penyertaan terdiri daripada pelbagai lapisan dan kelompok dan pasti di jamboree Kuale 2011, kebanyakannya adalah pengayuh sosial yang tujuannya untuk merasai keseronokan berbasikal bukit. Malangnya, track yang disediakan amat sesuai untuk pengayuh tegar.
Tentunya, siapa menduga penganjur akan menyediakan 8 atau sembilan bukit yang tingginya lebih 100 meter dengan puncak paling tinggi hampir 200 meter serta pendakian menegak dan pastinya bagi kebanyakan pengayuh dengan keupayaan kudrat yang terhad menghadapi masalah untuk menamatkan kayuhan. Jadi, ramai yang dilaporkan mengambil jalan mudah (terutamanya peserta tempatan) menggunakan Chicken Loop) dan yang bagusnya, dapat pula nombor kedudukan. Kedudukan yang baik pula tu..hebat!
Tentunya, kata-kata pengacara majlis sebelum perlumbaan bahawa track yang disediakan amat riderable terngiang di telinga sepanjang kayuhan kerana dia mengulangi kata-kata "boleh kayuh" beberapa kali. Jika track tersebutlah yang didefinisikan sebagai "boleh kayuh", maka ramailah peminat basikal gunung yang akan gantung basikal. Pastinya, dengan kecacatan yang dilalui, maka tidak adalah singgahan di Kuala Kangsar pada masa mendatang untuk menyertai edisi seterusnya Kayuhan Kuale Bandar Diraja.
Catatan ini mungkin penuh emosi, tetapi kedatangan para peserta untuk jamboree ini disebabkan reputasi baik penganjuran terdahulu. Juga kata-kata tidak puas hati bukan sekadar dalam blog ini. Cuba telusuri ruang sembang maya lain yang berkait dengan Kayuhan Kuale 2011, tidak kurangnya memperkatakan perihal kegagalan mutlak jamboree ini, juga menjadi luahan rasa marah dan puas hati mereka.
Kalau nak cerita semua kecacatan atau rasa tidak puas hati, laman blog ini rasanya tidak cukup, bak kata orang sehari semalam nak cerita pun tak habis. Kalau duk sembang kat kedai mamak pun boleh bertempik sambil hentak meja pun tak tentu puas hati.
Barangkali, ia merupakan pengajaran kepada penganjur tetapi sayugia dinyatakan, ia sudah terlambat. Bagi sesiapa yang mahu menganjurkan jamboree, boleh la jadikan Kayuhan Kuale 2011 ini sebagai penanda aras - maksudnya, penanda aras paling bawah penganjuran jamboree.
Apapun, masalah pada jamboree ini, semangat We Ride We Conquer tetap membara ;-)
 Nyonya fotografer tak rasmi jamboree.
 Sebahagian 2226 peserta kebanggaan penganjur.
 Tepi sawah memang tempat terbaik berposing kan.
 Mempertaruhkan kudrat menaiki bukit yang entah berapa banyak tu.
 Yang terjatuh dan terduduk pun ada.

 Apa ada di balik pokok
Kesesakan di track yang berlumpur.
 * Kredit foto untuk Akmarul Nizam Misbah

Oktober 19, 2011

Jersi Baru SC

Yang ni final design dalam bentuk tiga dimensi (kata Yus) jersi baru Sutama Cyclo. Emmm...kira mantap la, dan diharapkan dapat menaikkan kudrat para pengaruh tegar Sutama Cyclo semasa menyertai jamboree dan race sepanjang tahun depan. Iyo la, bila jersi baru kena la azam dan semangat baru. Bagi yang layak dan berkudrat la. Kalau macam Encik Nizam, tak payah la nak gaduh-gaduh kayuh. Ikut aje la Hizam Chik menemani Cif berkayuh. Tak la macam orang setengah mati bila sampai garis penamat...hehehhh. Ukur kudrat di badan sendiri la.
Tahniah diucapkan kepada Fazrul (ahli tiduq Sutama Cyclo) dan Yuswadi yang menggerakkan design jersi baru ini. Harapnya nanti bila dah dapat tak dak la senteng atau ketat itu ini...atau dalam kata lain, jersi siap, mesin jahit masih berbunyi.
Satu lagi, diharap para members memberikan sokongan dengan membeli jersi ini. Lagi banyak dapat dibuat lagi bagus. Biar la nanti masa jamboree, orang ramai dan para peminat dapat melihat jersi kaler biru kuning ini di sepanjang track jamboree dan perlumbaan. Tak taraf profesional tak dak hal, yang penting jersi macam team pro. Satu lagi, bila dah ada jersi, pakai-pakai la. Bagi up nama kelab. Kalau bukan kita, sapa lagi (pinjam kata Naim Wapres).
Lepas ni, mungkin awal tahun depan, boleh la difikirkan baju T kelab yang macam baju T merah yang dipakai sekarang, untuk dijadikan baju masa santai dan semasa pergi ke jamboree atau race. Pakai masa jual ayam pun boleh gak (macam Salleh ayam dan anaknya), ataupun pakai masa goreng char kuew tiaw..hehehhh.

Oktober 10, 2011

Santai di Port Dickson

Selepas dirancang beberapa bulan, maka akhirnya Hari Keluarga Sutama Cyclo dapat dijalankan, walaupun tidak banyak kegiatan dapat dijalankan akibat kekangan masa. Apapun, geng Sutama Cyclo dapat la mengayuh basikal bermula dari Glory Beach Resort membawa ke Teluk Kemang. Pergi balik ada la 30 kmm lebih kurang. Kalau tak terlewat nak mula kayuh, mungkin boleh sampai ke Tanjung Tuan. Apa pun, tahniah kepada anggota Sutama Cyclo termasuk yang masih muda belasan tahun memperlihatkan kesungguhan mereka untuk berkayuh sepanjang jalan raya yang banyak kereta, termasuk kesesakan di pasar malam.
Bagi para isteri dan anak-anak kecik pula, inilah masa mereka bersantai di kolam renang, dapat la mereka main air puas-puas. Maklum la saban minggu bapak sibuk kayuh basikal sampai tak sempat nak bawa anak-anak bercuti dan bermain air di kolam.
Cuma kalau tak disebabkan hambatan masa, mungkin, boleh meneroka lebih banyak laluan di sekitar bandar tentera Port Dickson sambil menikmati keindahan remang senja di gigi air Selat Melaka. Menarik weh pemandangannya. Terutamanya melihat orang-orang yang baru naik ke darat lepas berkubang di air laut. Tak percaya tanya sama itu Tok sami dan kuey tiaw.
Apa pun, terbaik untuk cif yang mendapatkan apartment penginapan. Berbaloi la dengan caj yang dikenakan. Bukan mencari yang percuma, tetapi cukup la selesa. Cuma pot makan tu, rasanye boleh la disenaraihitamkan terus. Hampagas!
Lepas ni boleh difikirkan acara Family Day. Khabarnya nak buat kat Pulau Tioman tahun depan. Kalau boleh biarlah acara yang akan datang lebih vogue gitu, terutamanya daripada aspek penyertaan la. Kalau boleh seramai mungkin, bagi lebih meriah dan menaikkan lagi semangat kekitaan dan kekeluargaan dalam Sutama Cyclo. Jangan la macam enau melepas pucuk masing-masing je - kalau ada spesies macam ini, baik pi kayuh sesorang la dalam elmina tu.
Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat - Sutama Cyclo ada ke?
 Sibuk bergambar di tepi jalan sampai lambat sampai ni.
 Pengayuh anak beranak ni.
 Model Rosdi Oberoi
 Steady lagi lepas kayuh laju-laju, sampai Teluk Kemang.
 Renungan mata yang mengancam!
 Remang senja di Teluk Kemang
Buah kelapa pun nak buat bergambar.

September 30, 2011

Mesyuarat santai ala Sutama Cyclo.

Maka dihikayatkan la mesyuarat yang dijadualkan pukul 8.45 malam, tetapi terbabas sampai dekat setengah jam, apatah lagi seorang member tegar dilaporkan gagal menghadirkan diri atas sebab yang tidak dapat dikenal pasti. Agenda lebih kepada aktiviti Sutama Cyclo, terutamanya Family Day di Glory Beach Resort dekat ngan Port Dickson. Apa pun diharapkan lebih ramai member SC tidak menguzurkan diri daripada menyertai kegiatan ini. Yo la, kalau bukan members, sapa lagi yang mengimarahkan kegiatan kelab. Tapi yang pastinya aktiviti utama selain kayuh gerek adalah makan, makan dan makan. Sebab itu la ramai yang bersaudara dengan pelakon Bollywood, Viviek Oberoi. Tapi kalau bab makan, tak join rugi hooo.
Mesyuarat yang ala-ala tak formail turut membincangkan pasal jamboree kat Kuala Kangsar. Acara ni kira boleh dibanggakan apabila penyertaan SC mencatat angka teramai iaitu 40 orang plus. Mantap gitu. Apapun, kemantapan penyertaan itu patut dimeriahkan dengan pencapaian di garis penamat yang lebih gah la. Pastinya harapan diletakkan pada Ali Champion atau Ali Kasanova (kata Pakkur..hehehe). Opsss..jangan lupa Pakkur, Ramzul, dan bekas Timbalan Champion, Shukri. Yang lain tu kayuh ala sesuka hati je. Apa pun janji kayuh sampai habis, macam Bob...lewat habis pun tak apa. Jangan naik lori atau twin cab...yang ni untuk yang cedera je.
 Last sekali lepas habis meeting adalah cara makan mee goreng yang dimasak oleh member kelab, Chef Mizan, yang mengsponsorkan air juga (sirap ngan teh tarik).

September 23, 2011

Dari Elmina ke Bukit Babi - Bukit Sayur

Ahad penuh cabaran. Tatkala orang lain kekenyangan jamuan raya, geng Sutama Cyclo bersama rakan sepengayuh dari Puncak Alam Cycling Club meredah keindahan ladang kelapa sawit Elmina, sebelum melalui laluan jerih dan pecah dada di Bukit babi menuju Bukit Sayur.
Ramai yang kepenatan sampai tergolek babi di atas tanah kepenatan dan kehabisan air. Tapi itu memang lumrah kalau bermain basikal bukit. Kalau tak sanggup berlumpur di paya, atau mendongak langit mendaki bukit, jangan la berbasikal bukit, baik duk rumah menonton tv ;-)
Cuma lain kali, kena la lebih teliti sebelum melakukan kayuhan di mana-mana laluan. Ukur kudrat di badan sendiri. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Mujur la ada gerai Pak Karim di bawah Bukit Sayur...emmm lega dapat kena air tebu, kelapa muda ngan sirap.
Belum penat lagi...boleh la senyum.
Kanopi ride..memang nyaman.
Laluan menurun yang memang layan.
Tuah aka Nasi Goreng aka Buaya tunjuk aksi juara.
Cabaran menolak di Bukit Babi..bermula detik pecah dada.
Dalam hutan sekunder di laluan Bukit Babi-Bukit Sayur.
Di Puncak Bukit Sayur. Nun di bawah Jalan Raya Puncak Alam-Puncak Perdana.
Para penceroboh lalu.
Dah tinggal nyawa ikan kehabisan air.
Sesi membasahkan tekak yang terasa haus terbakar di gerai Pak Karim. Gaya cif minum macam tak hengat jew.

Jamboree kecik di UKM

Ni beberapa keping gambar members Sutama Cyclo menikmati keindahan alam hijau dan konkrit di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Saja join untuk menambahkan aktiviti berbasikal selain mengkayakan pengalaman berkayuh. Walaupun jaraknya cuma separuh daripada kebiasaan jamboree, kira padan la, nama pun mini jamboree. Mini tu maksudnya kecik, jadi tak la macam jamboree-jamboree lain yang besaq sampai tidak terurus dengan baik. Contohnya..sendiri mau ingat la.
Kita kembali ke jamboree mini ini - sebenarnya dianjurkan sempena majlis konvo budak-budak UKM yang grad. Tahniah la untuk depa dan selamat berjuang mendapatkan pekerjaan, ya.
Kayuhan jamboree mini memang untuk santai aje, tapi memang ada, sebahagian besaq members Sutama Cyclo yang terjerumus pada pagi Sabtu lepas memang nak pulun dapat nombor sebaik mungkin - emmm, walaupun tak la beberapa baik. Apa pun tabik spring la untuk mereka yang bergelut tenaga di laluan lumpur dan becak serta turun naik bukit laluan tarmac sekitar kampus. Dalam tak beberapa syok pun ada syok gak layan. Ye la, kalau dah memang kaki kayuh, dapat peluang kayuh tetap layan gak. Lebih lagi dapat meneroka sebahagian besaq kawasan kampus UKM. Inilah harinta. Hari lain jangan harap la dapat...hehehe.
Kalau nak buat lagi, penganjur kena pastikan laluan single trek itu boleh dikayuh la. Peserta datang nak mengayuh, bukan nak menolak. Pastikan juga pengayuh dapat breakaway sebelum masuk single trek, bukan baru je kayuh beberapa km, dah masuk off road yang single trek, maka bermula la kesesakan lalu lintas. Nak kayuh apa kalau peluh kering. Patut-patut bagi la pengayuh keliling kampus kat laluan tarmac dulu, bagi kayuh turun naik dan buat breakaway sebelum mula masuk single trek.
Untuk tatapan semua, ni dimuatkan la beberapa keping foto. Bagi yang ada masa jamboree tapi tak masuk gambar, maaf la ye, lain kali boleh kasi masuk bklog ;-)
Kayuh tetap kayuh..yang penting hati mau gumbira.
Samseng jalanan...mendengar keluhan tak puas hati Pakkur.
Nasib baik la kapai korek hidung time ni, kalau masa goreng kue tiaw, sah tak lalu makan.
Para pejuang tegar Sutama Cyclo sebelum mengejar podium.
Kesesakan lalu lintas yang menyejukkan badan.
Geng tolak gerek keluar dari semak.
Di tepi tasik nan keruh airnya.
Cif dok pikiaq nak menyeberang atau tak ni. Takut kasut mahal basah berlumpur.

September 14, 2011

Menakluk bukit di Puncak Alam

Kalau nak kira keaktifan, sememangnya Sutama Cyclo dan members aktif membuat aktiviti berbasikal, tak kira siang, malam, pagi, petang, malam, puasa atau tak bulan puasa. Daripada aktiviti di Ladang Elmina, membawa ke jelajah Bukit Fraser sebelum bulan Ramadan lepas dan Sabtu ini di UKM, Bangi. Tak tau la ada tak member yang mampu mendapat nombor terbaik nanti. Harap-harapnya  tak dak la kelibat Anuar Manang atau Nor Effendy Rosli. Kalau tak, sah kempunan dapat nombor yang terbaik.
Ni nak citer skit pasal hari Ahad lepas, walaupun mungkin tak la sehebat laluan di Elmina, jelajah bukit Puncak Alam yang diterajui member gerek Puncak Alam Cycling Club boleh la dianggap mencabar. Mencabar sebab di laluan baru yang ketinggiannya lebih 173 meter - ikut bacaan GPS pencatat ni la.
Tambah mencabar lagi apabila laluan agak licin sebab hujan lebab sebelah malam dan laluannya tidak mesra pengguna berbanding kebanyakan laluan di Elmina. Apa pun tabik buat semua pengayuh yang menguji kelasakan dan ketegaran masing-masing demi menyempurnakan kayuhan sampai ke titik paling atas. Malangnya, tidak ada pemandangan yang luas mata memandang sebab cuaca berkabus.
Laluan turun pun kira menarik gak..single track yang penuh semak, malah ada laluan yang hanya diliputi lalang. Kira pengalaman baru la jugak tetapi, itulah maknanya cabaran dan keseronokan. Kalau tak dikayuh gereknya, mana nak dapat rasa pengalamannya, kan Shuk (Bekas Timbalan Campion..hehehe. Mesti bengang beliau).
Bagaimanapun kayuhan yang sepatutnya diakhiri dengan mendaki laluan Bukit Ramli tidak kesampaian apabila ramai yang memutuskan untuk menamatkan kayuhan lebih awal - alasan nak beraya. Kira okay la daripada tidak berkayuh atau buat laluan sendiri tak nak ikut grup.  Next time mungkin boleh try kayuh sampai ke puncak Bukit Ramli, boleh tambah kalori yang dibakar dan kurangkan lagi lemak di badan.
Kepada member gerek di Puncak Alam, terima kasih menjadi tuan rumah kepada Sutama Cyclo. Lain hari, mai la datang Elmina pulak, boleh Hizam Chik tunjuk jalannya. Kita kayuh sampai jarak 40 kilometer..ada bran ke? Apa pun, memang layan gak kayuhan Ahad lepas yang dikenali sebagai kayuhan kikis lemak. Menolak sama banyak ngan ngayuh...apa citer ye.
Muka masih belum habis angin ni. 145 meter di atas paras laut. Sikit lagi nak sampai puncak.
Ali Campion main tipu. Ada ka naik motor!
Apa hal lak Mat Pink ni...huhuhu
Tolak jangan tak tolak. Ni beberapa meter lagi nak sampai ke ketinggian 173 meter. Pakkur yang tegar pun tolak..apa cer
Dalam semak kami berkumpul...huhuhu.

Mei 20, 2011

Sutama Cyclo bergerak ke depan....

Saja je bubuh topik di atas. Tak dak kena-mengena ngan apa yang diceritakan. Yang sebenarnya nak dicer ceritakan adalah pasal mesyuarat agung julung kali Kelab Berbasikal Sutama Cyclo pada Hari Wesak lepas, 17 Mei. Mesyuarat yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor, Mohd Fakharudin dan dihadiri oleh para pengayuh tegar Sutama Cyclo berjalan dengan lancar tanpa insiden yang tidak diingini. Maka dengan terbentuk barisan ahli jawatankuasa, diharapkan sesangatlah kelab berbasikal ini akan bergerak ke depan dan menjadi antara kelab berbasikal termantap...harap bukan angan-angan.
Berikut ialah barisan para pekerja kelab:

Presiden - Razali Abdul Rahman aka Cif/Kepala
Timbalan Presiden (Wapres) - Abdul Naim Zakaria
Naib Presiden - Hj Abdul Rahman Mohd Saad
Setiausaha - Jamal Mohd Nasir
Bendahari - Akmarul Nizam aka M5
AJK - Mohd Ali Jupri aka Campion; Saifful Azhar Abd Gani; Borhan Bakar
Pengurus Pasukan - Wapres
Pen Pengurus - Fatkhur Rahman
Logistik - Hizam Chik
Moderator - Luq Al Hakim; Shukri aka Timbalan Campion; Yuswadi Yusof.
Jurulatih - Campion; Timbalan Campion; Shahizam aka Boya; Saifful Azhar
Juruadit - Suraya
Penasihat Undang-undang (tanpa gaji & pencen) - Syed Faisal
Hubungan Remaja - Adam; Amirul Iskanda

Yang ni ada la skit gambar masa mesyuarat agung tu.
 Selepas mesyuarat, sesi bergambo la pulok.
 Barisan ajk. Ada lak yg sibuk ngan gadget sendiri.
 Mesyuarat yang berlangsung tanpa sebarang ketegangan leher dan bergaduh tekak.
 Ucapan perasmian oleh tetamu undangan, Mohd Fakharudin.
 Coffee time.
 Lepas kayuh kita makan duluuu...
Emmm...pemanis mulut dan menyedap selera.

Mei 11, 2011

Notis AGM

Seperti yang sudah diuar-uarkan dalam FB, dengan ini dinyatakan semua peminat basikal (riadhah dan sukan), dijemput menghadiri Mesyuarat Agung pertama Kelab Berbasikal Saujana Utama (Sutama Cyclo)yang akan dilangsungkan pada 17 Mei ini di Rumah Kelab Saujana Utama, bermula pukul 9 pagi.
Inilah impian kita sebelum ini, ingin melihat adanya payung bernaung untuk para peminat sukan berbasikal, untuk memperkemaskan lagi gerakan dan menyatukan para peminatnya. Kita jadikan persatuan kita ini seperti sebuah rumah yang elok dan selesa untuk kita berkegiatan. Tak perlulah kita bermain politik dan berperanh jawatan.
Jadi, faham-faham la ye. Jemputlah datang beramai-ramai dan jangan lupa bawa kekawan yang turut berminat. Satu lagi jangan lupa kewajipan untuk melunaskan yuran yang dikenakan. Tak mampu bayar habis, bayar la secara ansuran. Rasanya, tak ada yang tak mampu bayar, kan kan. Kalau tak bayar tu memang bidaah.
Macam yang selalu dikatakan, kalau bukan kita yang juga peminat dan ahli, siapa lagi yang memakmurkan kelab kita. Takkan la Ramli kat kedai basikal, atau tauke Maju Ahmad yang dok caj bil berpuluh-puluh hengget tu kut.
Kalau tak dapat datang juga, sila la menjawab dengan surat tunjuk sebab - ni amaran keras WapRes ye. bukan saya yang cipta.
Kepada semua, selamat bermesyuarat dan berpersatuan, We Ride, We Conquer.

Mei 03, 2011

Sah? Sahhhh....

Ni la sijil beranak Sutama Cyclo atas nama Kelab Berbasikal Sutama Cyclo yang dimaterikan pada 15 April lepas. Moga dengan taraf sah ini, maka Sutama Cyclo akan melangkah lebih jauh demi untuk ahli dan peminat gerek, dan tidak kurang juga dengan angan-angan para riders yang bermimpi lahirnya pelumba basikal kebanggaan negara daripada Sutama Cyclo. Diharap para ahli dapat memainkan peranan ke arah kegemilangan kelab kita ini, sama macam Le Tua yang bermula sebagai kelab berbasikal untuk riadhah je, kini bertaraf kelab benua.
We Ride, WeConquer!